SIARAN MEDIA
KERAJAAN MALAYSIA TINGKATKAN KEMAHIRAN 200 "DUTA PERUBAHAN" DALAM AI GENERATIF UNTUK MENDORONG TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
KUALA LUMPUR, 12 MAC 2025 – Kerajaan Malaysia telah mempergiat usaha untuk mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam melalui program khas “Train-the-Trainer”. Program ini diadakan dari 3 hingga 7 Mac 2025 di Menara Usahawan, Putrajaya, inisiatif ini merupakan komponen utama dalam program ‘AI At Work 2.0’, susulan kepada fasa pertama yang dilaksanakan pada Ogos 2024.
Kira-kira 200 “Duta Perubahan” dari pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil bahagian dalam program “Train-the-Trainer” ini. Dutaduta ini, yang juga berkhidmat sebagai pentadbir IT di unit MyGovUC Jabatan Digital Negara (JDN), akan dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan pengetahuan dan kemahiran AI dalam jabatan masingmasing.
Dilancarkan pada 5 Februari 2025 oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, program ‘AI At Work 2.0’ bertujuan melengkapkan 445,000 pegawai awam dengan rangkaian AI generatif terkini Google Workspace, Gemini, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan produktiviti. Usaha sama antara Kementerian Digital (bahagian pengurusan), Google Cloud, JDN, dan NAIO ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan pegawai awam dalam menggunakan Gemini untuk menjana kandungan, meringkaskan maklumat, menganalisis data, serta mempertingkatkan pengalaman mesyuarat dengan nota yang dijana oleh AI.
Dalam program perintis ‘AI At Work’ yang dilaksanakan tahun lalu dengan penyertaan 270 pegawai awam dari JDN, 91% daripada mereka melaporkan penjimatan purata masa sebanyak 3.25 jam seminggu serta menyaksikan bagaimana alat AI generatif telah meningkatkan kualiti kerja mereka. Hasil kejayaan ini mendorong kerajaan untuk memperluaskan program tersebut dan memastikan penggunaan AI yang lebih meluas di seluruh agensi kerajaan.
Bagi Ts. Dr. Sheila Mahalingam, yang bertanggungjawab dalam pembangunan dasar dan penyelidikan sebagai Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Digital, kecerdasan buatan (AI) telah mengubah aliran kerjanya secara signifikan. Dengan mengautomasikan tugas-tugas berulang, beliau berkongsi bahawa kini beliau dapat memberi tumpuan lebih kepada pemikiran strategik peringkat tinggi dan penyelesaian masalah secara kreatif. Alat berkuasa AI telah mempermudah proses pengumpulan maklumatnya, membolehkannya mengakses dan menganalisis sejumlah besar data dengan lebih cekap dan tepat.
Ketua Unit Integriti di JDN, Mohd Fazli Sahari, yang bertanggungjawab menangani isu integriti dan memantau pematuhan undang-undang, juga mempunyai pandangan positif tentang faedah AI di tempat kerja. Penjawat awam itu berkata AI telah membolehkannya memanfaatkan sumber data yang lebih luas serta mengakses dan memproses artikel, jurnal dan sumber terkini dengan lebih cepat. “AI telah membantu saya meningkatkan kelajuan, ketepatan, ketelitian dan kecanggihan dalam mengendalikan tugas yang berkaitan dengan maklumat dengan cara yang lebih cepat dan terperinci, terutamanya dalam menyediakan maklumat yang relevan dan terkini, terutamanya kepada pengurusan atasan,” tambahnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Sumber Manusia di JDN, Chor Yee Reen pada mulanya ragu-ragu tentang alat AI kerana beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang IT tetapi telah mendapati bahawa beliau boleh menjimatkan masa dengan menggunakan ciri transkripsi dan terjemahan untuk meringkaskan minit dan laporan. Beliau juga merasakan bahawa membuat gesaan (creating prompts) yang berkesan adalah penting untuk peserta mendapatkan yang terbaik daripada alat AI, dan pendedahan yang meningkat kepada alat AI akan memanfaatkan pembangunan profesional pegawai awam.
Sebagai pegawai yang ditugaskan dengan pembangunan, integrasi dan pengujian Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang melibatkan penyediaan data kepada kementerian dan pegawai kerajaan, Jannatul Firdaus Azmi mempunyai lebih pengetahuan dalam menggunakan alat AI berbanding rakan kerjanya yang lain kerana beliau pernah menyertai sebuah program perintis penggunaan alat AI di Jepun sebelum ini. Beliau yakin dia akan menggunakan alat AI dengan lebih kerap kerana ia terbukti dapat membantunya dalam menghasilkan output yang lebih baik bagi kegunaan rakan sejawat di kementerian lain, justeru membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Inisiatif ‘AI At Work 2.0’ juga selaras dengan Garis Panduan Adaptasi Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam yang dilancarkan pada 27 Februari 2025. Dibangunkan oleh JDN dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), garis panduan ini bertujuan untuk memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam sektor awam dengan kandungan yang merangkumi prinsip etika yang perlu dipatuhi; peranan dan tanggungjawab pelaku utama; pengurusan risiko; kaedah adaptasi; dan templat penilaian kendiri untuk membantu agensi mengenal pasti skop dan impak AI dalam sektor awam.
Inisiatif ini menonjolkan kuasa AI untuk memacu perubahan positif dalam sektor awam -- dengan memperkasakan pegawai dengan alat yang diperlukan untuk mengubah cara mereka bekerja, untuk menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik dan meningkatkan kehidupan rakyat. Komponen kritikal ini memainkan peranan penting dalam memacu transformasi positif dalam organisasi mereka, sejajar dengan agenda pendigitalan kerajaan yang lebih luas, dan matlamat ekonomi digital dan AI negara.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Digital